Thursday 17 December 2015

i. sejarah pembangunan industri francais pada peringkat global dan malaysia.




Francais
Francais adalah satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesatnya di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu. Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, franco yang bermaksud kebebasan.
Pada ketika itu, seseorang francaisi adalah merupakan orang penting yang diberi hak dan kebebasan bagi sesuatu wilayah tertentu untuk memastikan pelaksanaan arahan dan peraturan, termasuk membuat penilaian dan memungut cukai.
Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima pakai di dalam sektor swasta dan komersial. Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Megatrends, John Naisbitt, franchising is the single most successful marketing concept ever (sistem francais adalah satu-satunya konsep pemasaran yang paling berjaya).

Francais moden

McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900-an. Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais. Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96 peratus daripada rakyat Amerika telah mengunjungi Restoran McDonalds sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka sedang atau telah menikmati hidangan McDonalds untuk hari ini.
Lebih separuh daripada penduduk Amerika tinggal di sekitar 5 kilometer daripada Restoran McDonalds, dan sejak 40 tahun kebelakangan ini McDonalds telah mengambil 16 juta orang pekerja di mana akhir-akhir ini syarikat berkenaan telah mengatasi U.S Army di dalam melatih jumlah belia yang terbesar iaitu hampir 700,000 belia setiap tahun.
Hari ini, bagi setiap 3 jam yang berlalu, satu Restoran McDonalds yang baru dibuka di segenap cerok dunia. Melalui operasinya yang telah mencecah 100 buah negara di seluruh dunia, McDonalds telah menghasilkan nilai jualan tahunan AS$30 bilion dengan pendapatan bersih melebihi AS$1.4 bilion.
Syarikat berkenaan hanya menguruskan sendiri 15% daripada lebih 20,000 restorannya di seluruh dunia, dengan 85% selebihnya diuruskan oleh 4,500 francaisi dan rakan kongsi.
Pada masa yang hampir sama juga, Kolonel Harlan Sanders mempelopori Kentucky Fried Chicken, diikuti oleh rangkaian restoran makanan segera yang lain seperti Burger King, A&W, Pizza Hut dan lain-lain. Meskipun, perniagaan francais seringkali dikaitkan rangkaian makanan segera, namun realiti hari ini, dari segi nilai jualan, hampir dua pertiga daripada jualan francais sebenarnya disumbangkan oleh industri bukan berasaskan makanan segera
Hari ini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh Pusat Sumber Sedunia Pembangunan Global, Persatuan Francais Antarabangsa, terdapat lebih daripada 15,000 sistem francais di seluruh dunia dengan lebih 1 juta francaisi dan nilai jualan tahunan kira-kira AS$1.4 trilion.



Francais di Amerika Syarikat
Perkembangan pesat sistem francais di Amerika Syarikat bermula selepas Perang Dunia Ke-2, lantaran terdapat peningkatan semangat keusahawanan dan permintaan yang semakin popular terhadap barangan dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan.
Berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 1994 sahaja, didapati 35% daripada nilai jualan runcit di Amerika Syarikat adalah merupakan jualan yang dihasilkan menerusi rangkaian perniagaan francais.
Dengan kata lain, bagi setiap 3 dolar yang dibelanja oleh rakyat Amerika, sekurang-kurangnya 1 dolar digunakan untuk membeli barangan dan membayar perkhidmatan yang ditawarkan oleh rangkaian perniagaan francais.
Menerusi kajian tersebut juga didapati nilai jualan tahunan berjumlah AS$800 bilion telah terhasil daripada 2,200 syarikat francaisor dengan lebih 550,000 unit outlet di seluruh negara berkenaan. Outlet-outlet ini juga telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 8 juta penduduk di negara tersebut.

Francais di negara-negara lain.
Berdasarkan kajian Persekutuan Francais Eropah pada tahun 1998, terdapat 3,888 sistem francais di 13 negara Eropah yang menjadi ahli persekutuan tersebut, dengan bilangan outlet menjangkau 167,432 unit dan menyumbangkan nilai jualan tahunan sebanyak kira-kira RM400 bilion. Di Jepun, terdapat 890 sistem francais dengan lebih 190,000 francaisi dengan nilai jualan kira-kira RM375 bilion setahun. Sementara Australia mempunyai 747 sistem francais dengan 46,100 francaisi dan nilai jualan tahunan kira-kira RM153 bilion. Di New Zealand yang mempunyai hanya kira-kira 4 juta penduduk, terdapat 250 sistem francais dengan bilangan francaisi di sekitar 5,000 dan menyumbangkan nilai jualan sebanyak RM13 bilion setahun.
Singapura mempunyai bilangan sistem francais yang hampir sama dengan New Zealand dan kerajaan negara berkenaan menerusi Lembaga Produktiviti dan Piawaian telah membantu membangun dan melancarkan 56 produk francais tempatan baru yang mewakili 460 outlet francais di seluruh negara tersebut.
Sementara Lembaga Pembangunan Perdagangan Singapura pula aktif di dalam membawa syarikat francais tempatan ke pasaran antarabangsa.

Francais di Malaysia
Umumnya, perniagaan francais di Malaysia telah bermula kira-kira 60 tahun yang lalu menerusi syarikat-syarikat seperti Singer, Bata, stesen-stesen minyak, pengedar-pengedar automobil dan perhotelan.
Namun pertumbuhan pesat perniagaan ini lebih ketara apabila restoran-restoran makanan segera seperti KFC, A&W dan McDonalds mula bertapak di negara ini di sekitar tahun 70-an dan awal 80-an. Senario ini berterusan dengan pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem francais, termasuk sektor berkaitan automotif (jualan kereta, pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori), kedai buku, fesyen dan pakaian, kedai runcit, salun dan kosmetik, agensi pelancongan dan penyewaan kereta, barangan kemas, percetakan, kedai gambar, optometri, farmasi, perkhidmatan kebersihan dan lain-lain. Pun begitu, daripada perspektif lain, penduduk negara ini juga telah mengamalkan konsep yang agak mirip sistem francais sejak sekian lama, iaitu sistem pawah.
Sistem pawah ini selalunya digunakan di dalam pemberian hak mengusahakan tanah pertanian atau pun ternakan. Menerusi sistem ini, pemilik tanah pertanian mahu pun ternakan akan memberi hak kepada pengusaha untuk mengusahakan tanah pertanian atau memelihara binatang ternakan mereka.

Sebagai habuan, kedua-dua pihak akan menikmati bahagian masing-masing hasil perkongsian ini, berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui bersama. Hubungan pawah ini selalunya tidak berasaskan apa-apa perjanjian bertulis, namun kadang-kadang berlanjutan sehingga beberapa generasi. 

No comments:

Post a Comment